• Nama Domain Sendiri

    Apa khabar para pembaca sekalian? Hari ini masih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah. Banyaknya amalan pada penghujung sepuluh malam terakhir Ramadhan ini. Aku masih mencuba untuk menghafal surah al-Kahfi kerana aku yakin ada kekuatan yang aneh dalam surah ini. Surah ini menceritakan kisah yang bersejarah dalam kamus kehidupan manusia tentang beberapa orang pemuda yang ditidurkan selama tiga abad dalam sebuah gua. Sungguh menarik kisah ini untuk dipelajari.

    Sambungkan DNS ke Laman Sesawang Anda


    Hari ini aku nak berkongsi kaedah yang telah aku gunakan untuk menyambungkan laman sesawang aku dengan nama domain yang telah aku beli. Jika anda telah baca isian yang lepas, aku sudah menyebut nama domain yang aku beli daripada 1&1 IONOS dan GoDaddy dengan nama domain masing-masing the2kali.net dan the2kali.com sejak tahun 2019. Maaf kerana the2kali.com sudah menjadi kenangan bagi aku pada tahun ini kerana aku tidak mampu untuk memperbaharui langganan. Bagi maklumat anda, pendaftar domain biasanya akan memberikan harga yang murah untuk langganan tahun pertama, tapi harganya lebih mahal untuk memperbaharui langganan pada tahun berikutnya. Aku pun masih mempelajari kenapa dibuat sebegitu rupa model perniagaan nama domain ini.


    Terus, jika anda sudah membeli sebuah nama domain tidak kiralah dari mana sekalipun, Exabytes, Shinjiru, DomainPlus, WebServer, 1&1 IONOS, GoDaddy, atau mana-mana pendaftar sekalipun prosesnya sama untuk anda ikuti. Tapi, aku nak kongsi yang pernah aku beli daripada 1&1 IONOS dan GoDaddy, cara untuk tetapkan Domain Name System (Sistem Nama Domain)(DNS) supaya laman web anda tersedia hanya menaip nama domain anda pada baris Uniform Resource Locator (Pencari Sumber Seragam)(URL) di pelayar jaringan. Proses ini memang agak rumit pada awalnya, namun setelah mengulanginya beberapa kali, anda akan terbiasa menggunakan segala frasa dan nombor di halaman tetapan DNS itu.

    Cara yang aku gunakan ialah menyambungkan nama domain aku dengan halaman aku di Blogger daripada Google. Satu sebab aku gunakan Blogger adalah 'percuma'. Sebelum ini aku pernah berhajat untuk menukar nama domain di Blogger namun aku mati akal dengan ciri-ciri pada halaman tetapannya untuk menetapkan nama domain sendiri. Yang Blogger sediakan ialah nama sub-domain dengan percuma contoh domain aku ialah thefiftynine.blogspot.com semasa mula-mula aku membuat blog seingat aku pada tahun 2011. Semua 23 huruf yang ada pada nama domain itu nampak menjengkelkan. Bak kata orang Indonesia 'jelek banget, go blog'. Sebenarnya bagi aku blogging ini adalah sesuatu yang leceh. Kalau anda memang berminat dengan perkara yang rumit dan mampu memerah otak sehingga keluar santannya, silakan. Setakat ini aku masih belum dapat perah otak sampai keluar santan lagi. Silalah cuba ya.


    Setelah aku membelek tetapan dalam Blogger dan meng'google' cara nak tukar nama domain [.blogspot.com] kepada nama domain sendiri, barulah aku tahu bahawa itu bukanlah percuma. Bagi aku janganlah sampai perlu keluarkan duit untuk buat blog ini sebab aku tahu nak istiqomah itu bukanlah mudah. Lagipun aku ini bukanlah jenis yang rajin. Kajian aku itupun setelah hampir sedekad baru beroleh hasilnya. Pada tahun ini walaupun dunia dilanda bencana wabak Covid-19, rakyat Malaysia diperintahkan mengawal pergerakan. Tidak boleh keluar rumah sesuka hati walaupun untuk tujuan bekerja ataupun berniaga. Jadi, aku dapatlah gunakan waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk menyambung projek membina laman sesawang.

    Mengatur Sistem Nama Domain (DNS)


    Mari kita mulakan dengan tetapan DNS. Untuk membiasakan diri dengan DNS, anda perlu mengetahui beberapa parameter yang ada untuk diisi. Semua parameter ini perlu diisi dengan tepat supaya tetapan itu sampai kepada laman web anda. Kalau salah sampai ke laman web yang salah, anda juga yang akan susah kemudiannya. Sebaiknya tetapan ini dibuat tepat pada kali pertama kerana ada pendaftar yang memerlukan masa untuk mengaktifkan tetapan yang dibuat. Jadi anda perlukan masa untuk melihat setiap perubahan kepada setiap parameter yang anda ubah. Jika anda buat menjadi pada kali pertama, anda memang hebat. Aku percaya walau anda belajar dalam kelas komputer sekali pun sukar untuk menjadi walau diajar satu per satu. Aku yakin semasa dalam kelas komputer bukan semua yang ikut apa yang diajar, malah berdota dalam kelas pun ada. Hebat pula kalau dalam permainan video.

    Parameter yang digunakan dalam DNS ialah A, AAAA, CNAME dan TXT bagi yang dasar. ada banyak lagi parameter yang aku tak tahu kegunaannya. Empat parameter di atas adalah yang biasa aku gunakan dan bagi aku sudah mencukupi. Parameter ini semuanya disusun pada lajur paling kiri dengan identitifikasi type (jenis). Setiap parameter ini perlu diisikan dengan nilai pada lajur kedua dan lajur ketiga. Lajur kedua adalah untuk nilai Name (Nama), Label (Label) atau Host (Perumah). Lajur ketiga adalah untuk nilai Destination (Destinasi), Target (Sasaran) atau Points To (Tuju Kepada).

    Ini adalah contoh aturan DNS aku untuk sambungkan ke the2kali.net.
    *Jenis MX digunakan untuk tetapan emel.

    Parameter [A]

    Digunakan untuk mengarah kepada alamat IP jenis IPv4. Pilih jenis A, kemudian bagi perumah anda perlu masukkan nama domain atau nama domain beserta nama sub-domain. Contohnya [the2kali.net], [www.the2kali.net]. Dalam aturan ini sudah disediakan aturan mudah dengan hanya mengisi [@] yang merujuk kepada nama domain [the2kali.net] atau hanya isikan [www] untuk merujuk kepada [www.the2kali.net]. Sub-domain [www.the2kali.net] sudah tersedia secara automatik, jika ingin menambah sub-domain lain boleh pergi kepada aturan sub-domain. Aku sudah menambah sub-domain [cdan.the2kali.net]. Untuk mengubah arah [cdan.the2kali.net] aku hanya perlu isikan [cdan] dalam aturan DNS ini. Pada lajur ketiga pula masukkan IPv4 yang hendak dituju. Untuk Blogger aku perlu gunakan empat alamat IP Google iaitu [216.239.32.21], [216.239.34.21], [216.239.36.21], dan [216.239.38.21]. Semua alamat IP ini aku perlu buat masukan secara berasingan, jadi aku buat empat masukan untuk empat alamat IP Google.

    Parameter [AAAA]

    Digunakan untuk mengatur IPv6. Cara aturannya sama seperti parameter [A] cuma destinasinya perlu diisi dengan alamat IPv6. IPv6 membawa data sebanyak 128 bit setiap satu alamat. Contoh alamat IPv6 ialah [2001:0db8:83a3:08d3::0380:7344]. Aku pun masih belajar tentang IP address. Tak dapat nak bercerita panjang. Ini pun aku rasa memadai untuk menaip.

    Parameter [CNAME]

    Untuk CNAME anda gunakan untuk mengarah kepada nama domain yang lain. Contohnya aku nak mengarahkan [cdan.the2kali.net] ke [ghs.google.com]. Aku akan masukkan [cdan] pada lajur kedua, [ghs.google.com] pada lajur ketiga. Ini adalah cara lain untuk sambungkan ke blogger tanpa masukkan empat alamat IPv4 pada parameter [A]. Aku perlu buat masukan salah satu daripada [CNAME] atau [A]. Amaran kesilapan akan keluar jika aku masukkan kedua-duanya.

    Parameter [TXT]

    Parameter ini adalah untuk memasukkan peraturan dalam DNS. Ianya adalah lebih kepada untuk penandaan. Sebagai contoh jika Blogger tidak dapat mengesahkan DNS yang aku aturkan dalam 1&1 IONOS, Blogger akan mencadangkan untuk aku masukkan nilai dalam parameter [TXT]. Parameter ini bebas untuk digunakan walaupun anda hanya masukkan nilai [0] pada lajur kedua dan lajur ketiga.

    Siap! anda perlu menunggu selama sejam untuk Blogger mengubah nama domain anda. Itulah sebabnya aku katakan supaya mengisi dengan tepat untuk kali pertama kerana anda perlukan masa sejam untuk melihat sama ada aturan anda menjadi ataupun tidak menjadi.


    *nota: untuk tetapan https sila tandakan [NO].

    HTTPS adalah untuk sambungan selamat. Anda perlu membeli sijil untuk mendapatkan sambungan selamat ini. Sambungan selamat dapat mengelakkan data anda dicuri oleh pihak ketiga semasa pengguna laman sesawang anda melayari laman sesawang anda. Aku akan kongsikan lagi cerita HTTPS ini pada lain kali. Sekian dulu untuk kali ini, sehingga berjumpa lagi.

    Jangan lupa komen di bawah ya.
  • 0 komen:

    Catat Ulasan