Apa khabar semua? Hari ini sehari selepas Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia. Aku pun baru tahu selepas mendapat pesanan ringkas di telefon daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) lewat petang semalam. Mungkin lepas ini aku boleh mengkaji sejarah kewujudan tarikh 17 Mei untuk memperingati apa, siapa dan di mana?
Baiklah hari ini aku mahu bercerita satu topic yang menarik yang membolehkan anda melayari sesuatu laman web di internet. Bagi kita, teermasuk aku rakyat marhaen ini tidak kisah pun tentang bagaimana sebuah komputer ataupun smart phone (telefon pintar) yang mempunyai web browser (pelayar jaringan) boleh mendapatkan akses kepada sesebuah laman sesawang. Apa yang terjadi di belakang tabir sebuah pelayar itu?
Sebuah komputer membaca nombor, bukan seperti yang kita nampak pada paparan skrin yang mempunyai pelbagai gambar, tulisan dan gambar. Semua itu telah diterjemahkan oleh orang yang bekerja dalam komputer atau gajet anda. Cuba bayangkan gajet anda adalah sebuah kilang, dalamnya ada ramai pekerja yang membuat pelbagai tugas untuk melancarkan operasi setiap aplikasi yang anda telah pasang dalam gajet itu. Satu aplikasi itu adalah ibarat satu jabatan dalam kilang itu. Bayangkan berapa banyak pejabat untuk disediakan bagi semua puluhan aplikasi yang anda pasang dalam gajet anda. Semua pekerja ini perlu berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Kalau manusia mempunyai bahasa untuk bercakap, namun dalam sistem komputer menggunakan bit atau byte untuk berkomunikasi sesama sendiri.
![]() |
| cucuk tu biar betul |
Pelayan Pengurai kepada Domain Tahap Atas
Kita ambil satu contoh aplikasi pelayar sesawang memohon akses kepada sebuah laman web contohnya facebook.com kepada orang atasnya. Orang atasnya ialah resolver server (pelayan pengurai) atau lebih dikenali dengan Internet Service Provider (Pembekal Servis Internet) (ISP) sama ada anda menggunakan Wi-Fi atau mobile internet (internet boleh gerak). Setiap komputer atau alat komunikasi mempunyai sebuah alamat yang dikenali sebagai Internet Protocol (Protokol Internet)(IP) yang akan membolehkan sesuatu bahan atau data itu dihantar dari satu tempat ke tempat yang lain. ISP akan membuat carian dalam jaringan kepada orang atasnya untuk mengetahui alamat IP facebook.com. Orang atasnya ialah pelayan Top-Level Domain (Domain Tahap Atas)(TLD). Pelayan TLD inilah yang menyusun semua domain yang dihujungnya seperti [.com], [.net] dan [.org].
Domain Tahap Atas dan Pelayannama
Dalam kes ini kita menuju kepada pelayan TLD [.com] untuk mencari alamat facebook.com. Pelayan TLD ini akan cari lagi kepada rakannya pula iaitu Nameserver (pelayannama) untuk mencari di mana alamat IP facebook.com. Bayangkan semua yang terlibat ini mempunyai alamat IP masing-masing. Aku pun dah kehilangan kira berapakan pelayan yang ada di atas tadi. Pelayannama itulah yang menyimpan alamat facebook.com. setelah mendapat alamat itu terus akan dihantar kepada ISP tadi dan dapatlah anda akses kepada facebook.com untuk memuat naik gambar makanan yang anda masak tidak menjadi itu. Sementara itu, ISP sudah menyimpan data alamat IP itu dalam cache memory kerana dia tahu esoknya anda akan masak lagi masakan dan masih tidak menjadi. Walaupun tidak menjadi anda masih mahu menunjuk-nunjuk di Facebook. Maaflah kalau terasa ya. Aku tidak ada niat untuk mengata, tapi niat aku hanyalah menaip di papan kekunci.
![]() |
| meriah macam hari raya |
Anda sebenarnya tidak perasan pun semua proses ini berlaku kerana internet pada zaman kini sangat pantas dengan kemajuan teknologi fibre optic (gentian optik) yang boleh menghantar data selaju sepuluh gigabit per saat (10Gbps) yang aku pun tak tahu seberapa lajukah itu. Mungkin hampir kepada kelajuan cahaya sejauh mata memandang. Kalau anda menggunakan internet sebelum sepuluh tahun lepas mungkin anda akan menghargai proses melayari satu gambar bersaiz normal dalam internet melalui semua proses yang di atas tadi. Jadi, hargailah ciptaan manusia ini sebaiknya dengan menggunakan internet untuk perkara yang berfaedah dan memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Sampai sini dulu untuk entri kali ini. Mudah-mudahan anda dapat memahami bagaimana anda melayari sebuah laman sesawang. Akan datang aku akan kongsikan bagaimana untuk sambungkan Domain Name System (Sistem Nama Domain) daripada pendaftar nama domain kepada laman sesawang yang anda sudah bina. Isian kali ini memberikan sedikit idea kepada anda supaya tidak terkejut nanti bagaimana sambungan kepada laman web itu terjadi. Terima kasih kerana sudi singgah di sini, sehingga berjumpa lagi.
Jangan lupa komen di bawah.



0 komen:
Catat Ulasan