• Bagaimana Nak Daftar Nama Domain

    Tahun 2020 adalah tahun kedua the2kali menjadi domain untuk  laman sesawang yang aku bina. Untuk mengetahui bagimana wujudnya nama the2kali tunggu pada isian yang lain, mungkin. Pada tahun lepas, 2019 the2kali menggunakan domain the2kali.com sebagai titik mula untuk aku mempelajari bagaimana untuk membuat sebuah laman sesawang jadi kenyataan. Pada fikiran aku waktu itu ialah memiliki sebuah nama domain yang telah didaftarkan sudah mencukupi untuk membina sebuah laman sesawang sendiri. Namun jangkaan aku meleset.

        Setelah memiliki sebuah nama domain yang telah didaftarkan, aku perlu membina satu platform (pelantar) untuk menyimpan segala data dalam laman sesawang yang bakal aku bina. Pelantar itu dipanggil host (perumah), atau kaedah digunakan untuk membuat pelantar itu ialah hosting (pengacaraan). Nama domain mungkin boleh didapati dengan harga yang murah, tetapi untuk mendapatkan sebuah perumah harganya agak mahal. Nama domain biasanya dilanggan untuk pendaftaran selama setahun, bagi perumah akan dibilkan secara bulanan. Mungkin itu adalah helah pendaftar untuk mengelirukan pelanggan kerana harga langganan perumah sebulan lebih kurang dengan harga langganan nama domain setahun, kadang-kadang boleh jadi jauh lebih tinggi.Oleh itu, hati-hati semasa membuat urusan jual beli daripada pendaftar ini.


        Kebiasaannya domain name registrar (pendaftar nama domain) akan menyediakan perumah untuk pelanggan mereka. Bagi tujuan promosi mereka memberikan sebulan percuma untuk menggunakan perumah kepada pelanggan yang membeli nama domain kali pertama. Ada juga yang memberi perumah percuma dengan ciri-ciri yang terhad bergantung kepada cara pendaftar mempromosikan produk mereka. Ada juga yang menyediakan pakej nama domain bersama dengan perumah. Pakej ini amat berbaloi kepada anda yang mempunyai modal lebih untuk dilaburkan kepada sebuah laman web. Aku tiada pengalaman menggunakan pakej ini memandangkan aku baru belajar dan modal pun tidaklah banyak.

        Mari berbincang tentang harga sebuah domain. Nama domain ini adalah bebas terdiri daripada frasa yang terbentuk daripada huruf dan nombor yang bersambung tanpa diselangi oleh apa-apa tanda baca atau sengkangan. Selepas frasa itu ditutup dengan dot (titik) dan diikuti dengan top-level domain (domain tahap atas) (TLD) seperti [com] atau [net] yang malar di world wide web (jaringan dunia luas)(www). Namun, banyak lagi domain tahap atas yang pelanggan boleh pilih daripada pendaftar nama domain. Di Malaysia pun ada beberapa syarikat yang membuat servis mendaftar nama domain. Anda boleh lihat di laman sesawang MYNIC untuk maklumat selebihnya. Sesebuah nama domain mempunyai nilai tersendiri bergantung kepada populariti dan ketersampaian melalui Search Engine Optimization (Pelancaran Enjin Carian) (SEO).

    the2kali.net

        Paling murah yang aku beli domain untuk tahun ini ialah dengan harga USD 0.80 daripada 1&1 IONOS. Anda baca dengan betul Ya, hanya 80 sen USD untuk sebuah nama domain, tapi digenapkan  kepada $1 semasa aku buat pembayaran lebih kuran RM 4.00. Harga ini amat berbaloi bagi aku untuk mendapatkan nama domain the2kali.net selama setahun. Lebih menarik aku tidak perlu membayar lebih untuk privasi nama domain supaya nombor telefon dan alamat emel pendaftaran aku tidak didedahkan. Tambahan aku mendapat satu akaun emel percuma dengan menggunakan nama domain the2kali.net ditambah pula dengan email forwarding (emel kehadapan) tanpa had. Ada lagi, subdomain juga diberikan percuma tanpa had. Subdomain ialah frasa sebelum nama domain seperti [www]. Frasa subdomain ini sama juga seperti nama domain terdiri daripada nombor dan huruf.

    the2kali.com

        Berbanding dengan tahun lepas aku membeli nama domain daripada GoDaddy dengan harga domain USD 7.00 kalau ditukarkan kepada matawang Malaysia ialah RM 28.00 membuatkan aku berfikir dua, tiga kali untuk membelanjakan wang hanya untuk seketul nama domain. Namun aku tekad untuk belajar membina sebuah laman sesawang dan beli juga nama domain the2kali.com. Itupun setelah bulan pertama aku bekerja di SMJ Teratai Cyberjaya. Itulah hasil gaji pertama aku di SMJ Teratai. Nama domain the2kali pun rakan sekerja yang cadangkan. Daripada harga itu aku perlu bayar lagi untuk pendaftaran dengan ICANN dan juga privasi nama domain. Jumlah keseluruhan aku bayar pada masa itu ialah RM 43.98. Lagi sekali aku tepuk dahi. Hampeh betul. Caj tersembunyi seperti inilah yang menyebabkan pelanggan tawar hati dengan sesuatu perkhidmatan. Memandangkan ini kali pertama aku membeli domain, aku kurang maklumat tentang perkhidmatan emel, emel kehadapan, subdomain dan juga perumah. Mungkin aku akan huraikan pada masa yang lain atau aku beli sekali lagi domain daripada GoDaddy untuk mengkaji ciri-ciri istimewa yang disediakan.

        Bagi anda yang baru berjinak-jinak untuk membina laman sesawang sendiri boleh la mencuba dengan membeli sebuah domain. Lain kali aku akan kongsikan bagaimana untuk sambungkan nama domain kepada sebuah laman sesawang. Aku bercerita ini adalah hanya daripada pengalaman sendiri. Maklumlah aku tidak berpeluang untuk sambung pengajian dalam bidang Teknologi Informasi di peringkat yang selayaknya. Namun aku berusaha untuk menkaji dan mempelajari sendiri sedikit demi sedikit. Harap kalau ada yang pakar mohon betulkan mana yang salah sebab saya juga manusia yang hina dina tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, kesilapan dan dosa. Mohon diampun ya.
  • 0 komen:

    Catat Ulasan