Hai semua, apa khabar? Masihkah kau berpuasa? Hari ini sudah menghampiri hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Tahun ini tidak begitu meriah untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perdana Menteri sudah pun sudah mengeluarkan kenyataan melarang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta. Namun larangan ini adalah untuk kebaikan bersama. Marilah kita mematuhi agar dapat mengekang penularan wabak Covid-19.
Hari ini aku nak berkongsi cara memasang server (pelayan) sendiri di rumah. Biar betul nak pasang server sendiri! Kena pasang air-contitioner (pendingin hawa)(A/C) lah gamaknya. Kena ada rak pelayan lah bukan? Internet 1Gbps mana nak dapat? Berapa banyak wayar nak cucuk kepada router (penghala)?
Tenang. Jangan berasa tertekan. Persoalan yang bermain di minda anda itu hanyalah mainan syaitan. Anda hanya mahu memasang server untuk sebuah laman web. Bukannya untuk menyimpan beratus-ratus terabyte data sebuah syarikat di rumah anda. Untuk memasang pelayan untuk sebuah laman sesawang seperti Blogger tidak memerlukan ruang data yang amat besar. Lihatlah kepada akaun Blogger anda hanya menggunakan berapa peratus sahaja daripada jumlah data 15GB yang Google sediakan untuk anda.
Apa yang anda perlukan ialah sebuah komputer dan sambungan ke internet. Sudah cukup. Pelayan anda akan dipasang secara maya melalui perisian dalam komputer anda. Komputer lama juga mampu menjadi sebuah pelayan untuk anda asalkan masih boleh berfungsi. Satu kaedah yang boleh gunakan ialah pasangkan Operating System (Sistem Operasi)(OS) Linux pada komputer anda. Tapi anda perlu mengetahui Linux yang dipasang menggunakan dasar yang mana. Ubuntu dan CentOS menggunakan dasar yang berbeza, maka cara memasang perisian antara kedua-duanya adalah berbeza.
Semasa aku memasang perisian, aku banyak rujuk kepada tutorial di YouTube dan forum. Lebih mudah jika anda mempunyai lebih daripada satu komputer untuk membuat aturan dalam sistem anda. Bagi kes aku, aku hanya menggunakan telefon untuk mendapatkan akses kepada tutorial memandangkan komputer aku digunakan untuk memasang perisian pelayan. Komputer aku adalah komputer kompak yang lama, tidak mampu untuk menggunakan virtual OS (sistem operasi maya). Aku sebelum ini telah memasang OS Kali Linux pada komputer aku. Jadi aku terus memanfaatkan sebaiknya Kali Linux yang aku telah pasang. Untuk pengetahuan anda Kali Linux menggunakan dasar yang sama dengan Ubuntu iaitu Debian. Jadi, panduan untuk memasang perisian perlulah dirujuk kepada yang memasang perisian dasar Debian.
Kenapa pentingnya anda mengetahui dasar OS anda?
Ini adalah penting kerana OS dengan dasar Debian menyimpan alamat home (rumah) di tempat yang lain daripada OS dengan dasar Red Hat. Sebahagian daripada pengguna Linux menggunakan CentOS dengan dasar Red Hat. Namun lebih ramai yang menggunakan Ubuntu kerana lebih mesra pengguna dan mudah untuk mendapat akses kepada panduan pengguna.
Langkah pertama: Aku boot (but) komputer aku kepada OS Kali. Untuk proses ini, aku hanya menukar hard drive (cakera pemacu) yang telah aku simpan OS Kali di dalamnya dalam komputer aku. Boleh pilih dua cara. Pertama: gunakan cakera keras sebagai external hard disk (cakera keras luaran). Aku hanya beli casing (selongsong) untuk cakera pemacu dan boleh digunakan sebagai cakera keras luaran. Untuk maklumat anda, aku keluarkan cakera pemacu daripada komputer riba untuk proses ini. Cakera pemacu untuk komputer riba adalah lebih kecil saiznya daripada yang biasa digunakan untuk komputer meja. Kedua: anda boleh terus pasang cakera pemasu kepada sambungan SATA dalam komputer. Untuk ini, seeloknya anda cabut hard disk asal daripada komputer supaya mudah untuk membuat pilihan semasa but nanti.
Sila masuk kepada akaun root (akar) anda supaya senang untuk memasang perisian apache, mysql dan php nanti. Aku biasa gunakan akaun akar sebab banyak tutorial yang gunakan akar. Untuk gunakan akaun lain agak leceh untuk mendapatkan kebenaran akar untuk membuat perubahan dalam sistem komputer.
Terus anda boleh pasang Apache menggunakan Terminal. Aku malas nak share ayat untuk pasang. Yang terbaru cara pasang apache ialah dengan memasang apache2. Mudah sahaja untuk pasang perisian ini. Hanya ikut langkah-langkah dalam tutorial satu per satu. Kalau ada kesilapan mungkin anda perlu menukar direktori supaya anda boleh melakukan [sudo -update] dengan jayanya. Dah pasang Apache, anda pergilah kepada direktori home anda. Biasanya disimpan di sini [/var/www/html]. Dalam folder itu adanya fail [home.html] yang menjadi alamat kembali bagi laman sesawang anda nanti. Anda boleh mengubah isi dalam fail ini mengikut kesesuaian. Bagi aku yang tidak pandai membaca bahasa HTML, aku hanya muat turun templat percuma yang tersedia dalam alam maya.
Setelah siap pasang Apache anda sudah boleh cuba untuk melihat laman web anda dengan menaip [http://localhost:80] di baris alamat pelayar sesawang anda menggunakan komputer yang sama. Buat masa ini anda belum lagi boleh memancarkan laman sesawang anda kepada internet. Aku akan buat isian yang lain untuk membuat aturan supaya laman sesawang anda tersedia di internet. Nikmati dahulu layari laman sesawang anda yang anda pancarkan dalam komputer yang sama. Sementara itu anda bolehlah mencantikkan laman sesawang anda dengan hiasan langsir, renda dan permaidani yang lawa dahulu.
Sebelum terlupa, pasangkan mysql dan juga php untuk ciri-ciri yang lebih baik untuk melayari laman sesawang anda. Aku pun masih belajar untuk menggunakan kedua-dua perisian ini. HTML pun masih banyak yang aku perlu belajar. Jom, sama-sama kita belajarya.
Aku pun dah penat ni. Lain kali pulak aku sambung ya. Puasa, jangan tak puasa. Malam jangan lupa Teraweh. Tak boleh berjemaah di masjid tidak mengapa, boleh buat di rumah. Gerak lu...
Jangan lupa komen di bawah. Kongsi kepada kawan-kawan.



0 komen:
Catat Ulasan